Kindred spirit / Najib Razak / Politics in general / Umno & Barisan Nasional

Penularan di Putrajaya

Berikut adalah penulisan dari seorang pembaca yang memberikan pendapat mengenai keadaan politik semasa:

____________________________

oleh Apai Kecil Malaya

Jika kita meneliti kenyataan menteri dan pemimpin Umno/Barisan Nasional mutakhir ini, kita harus menerima satu penularan (contagion) sedang menelan Putrajaya yang mengakibatkan mereka mengeluarkan kenyataan yang kurang waras dan adakalanya membodohkan diri.

Yang paling akhir ialah keghairahan mereka berkokok mengatakan kemenangan besar BN di Sarawak adalah bukti sokongan rakyat kepada kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kenyataan ini amat mengejutkan kerana dari awal lagi BN Sarawak termasuk ketuanya Tan Sri Adenan Satem telah menyatakan bahawa pilihanraya itu tiada berkaitan dengan politik di Semenanjung.

Selebihnya, kenyataan pemimpin Sarawak yang tidak terjangkit dengan penularan di Putrajaya, dengan keras tidak mahu Umno hadir di bumi kenyalang dan menolak sebarang usaha mengaitkan BN Sarawak dengan Umno, Najib dan politik di Semenanjung.

Malahan Datuk Jamal Yunos, pejuang Umno dan Melayu baju merah yang didokong oleh pemimpin Umno termasuk Tan Sri Annuar Musa turut dihalang memasuki Sarawak sebagai bukti ketegasan Adenan dan kepimpinan Sarawak kepada politik Umno masakini yang mengadu-dombakan rakyat antara kaum.

Kerana itu #teamAdenan di promosikan dengan ghairah untuk meyakinkan rakyat Sarawak bahawa mengundi BN di Sarawak sama sekali tidak ada kaitan dengan Umno, Najib dan Putrajaya.

Kenapa begitu? Tidakkah ini menunjukkan rasa meluat terhadap Umno, presidennya Najib dan pemimpin-pemimpin Umno lain yang begitu ghairah mempertahankan Najib walaupun satu dunia sedang membincangkan perbuatan rasuahnya melalui 1MDB dan derma RM2.6 billion.

Malangnya, pemimpin Umno seperti Datuk Rahman Dahlan (yang sebelum ini kecut apabila cabaran debat disambut Ketua Menteri Pulau Pinang); Datuk Nazri Aziz (yang hanya berani mengajak orang berumur lebih 90 tahun bertumbuk); Datuk Salleh Said Keruak (yang tidak habis marahnya pada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak mengekal dirinya sebagai Ketua Menteri Sabah); Datuk Ahmad Maslan (yang diangkat menjadi satu lagi watak cerita rakyat setanding Pak Pandir, si Lunchai, Lebai Malang dan Mat Jenin) serta lain-lain pemimpin Umno yang semakin tidak keruan, tanpa rasa malu, berteriak seberapa kuat yang mampu, bahawa keputusan pilihanraya negeri Sarawak membuktikan sokongan kepada kepimpinan Najib.

Dari mana datang akal mereka untuk menumpang kemenangan Adenan sedangkan Umno telah dihina secara terbuka oleh kepimpinan dan rakyat Sarawak yang tidak mahu Umno hadir sama sekali.

POPULARITI TIDAK MENYUCIKAN JENAYAH

Yang lebih menarik ialah kebolehan pemimpin-pemimpin Umno ini mengaitkan kemenangan BN Sarawak sebagai bukti rakyat tidak percaya dengan kesalahan rasuah yang dikaitkan dengan Najib.

Pendekatan yang sama telah dan akan terus digunakan oleh Najib dan pendokongnya. Kerana itu, sebelum ini pun Najib dengan bantuan pemimpin Umno yang dijangkiti penularan Putrajaya, telah memastikan sokongan padu dapat diperlihatkan oleh perwakilan Umno semasa Perhimpunan Agung Umno yang lepas.

Selain PAU, kepimpinan Umno pelbagai peringkat digalakkan mengadakan perhimpunan dan membuat deklarasi menyokong Najib.

Jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan jika Najib cuba mengaitkan dirinya dengan kemenangan Adenan di Sarawak. Sudah pun kedengaran di kalangan menteri-menteri Umno supaya desakan agar Najib meletakkan jawatan dihentikan kerana kemenangan besar BN di Sarawak bukti rakyat yakin dengan kepimpinan Najib.

Sekali lagi amat jelas pemikiran mereka tidak rasional dan tidak dapat membedakan antara percaturan politik dan perlakuan jenayah.

Hakikatnya ialah Najib terkait dengan perlakuan rasuah dan pecah amanah dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 billion dan perkara ini sedang diperbincang dan disiasat di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kepulauan Seychelles, Emiriah Arab Bersatu, Hong Kong dan Australia. Siasatan ini tidak akan berhenti kerana kemenangan Adenan di Sarawak.

Laporan media – cetak, elektronik, akhbar dalam talian, media sosial dan lain-lain – mengenai salah laku ini sudah berterusan sejak dua tahun lalu merangkumi ratusan jika tidak ribuan media antarabangsa.

Dalam lain perkataan, kedua-dua isu tersebut telah menjadi skandal antarabangsa yang tidak dapat disekat walaupun terdapat usaha oleh pihak berkuasa seperti peguam negara, polis dan institusi lain untuk melangsaikan kesalahan Najib. Usaha-usaha itu sia-sia kerana ianya tidak diterima oleh penyiasat-penyiasat antarabangsa dan siasatan mereka pun berterusan.

Kerana itu dari awal lagi setelah skandal itu terbongkar, pemimpin-pemimpin Umno dan BN yang conscientious (prihatin) telah mencadangkan supaya Najib “bercuti’ supaya siasatan dijalankan tanpa gangguan dan jika Najib didapati tidak bersalah, dia boleh kembali ke jawatannya dan desakan dia undur dapat ditamatkan.

Malangnya, Najib mengambil jalan disebaliknya. Pemimpin Umno yang membuat cadangan tersebut telah dipecat, institusi yang menjalankan siasatan diganggu, pegawai-pegawai penyiasat diugut dan di tukar ketempat lain serta lain-lain tindakan.

Ini bukanlah perlakuan seorang pemimpin yang bersih dan suci tetapi sebaliknya meyakinkan masyarakat umum bahawa dia memang bersalah seperti yang dituduh dan sedang berusaha menutup skandal itu dengan menyalah-gunakan kuasanya.

Kerana itu, usaha mentafsir kemenangan BN di Sarawak sebagai kayu ukur populariti Najib tidak berasas sama sekali.

KEMENANGAN DI SARAWAK BALA KE SEMENANJUNG

Ramai orang Semenanjung yang marah-marah dengan orang Sarawak kerana memberi undi besar kepada BN dan ini membolehkan Najib dan pendokongnya berkokok seolah-olah kemenangan itu adalah kemenangan mereka.

Orang Semenanjung tidak seharusnya marah kerana orang Sarawak mengundi Adenan dan mereka yakin kemenangan besar akan memberi Adenan kuasa tawar-menawar (bargaining power) yang lebih besar dengan Najib dan kerajaan pusat.

Bagi mereka Najib berkeadaan “under siege” (dalam kepungan) dan jauh memerlukan Sarawak dari Sarawak memerlukan BN.

Kerana itu mereka memerlukan seseorang yang berupaya mendesak untuk mendapatkan lebih banyak kepentingan Sarawak. Sebelum piliharaya berlangsung, keadaan ini sudah amat nyata seperti menjanjikan lebuhraya tanpa tol sejauh ribuan kilometer di dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo.

adenan-najibNajib tidak berupaya untuk menafikan permintaan itu walaupun ianya membangkitkan rasa marah orang Semenanjung yang terpaksa membayar tol untuk semua lebuhraya, tidak kira intra-bandar ataupun yang ke luar kota.

Meskipun Najib boleh menyalahkan pemimpin terdahulu, namun hakikatnya ialah, setelah berjanji tidak akan ada kenaikan tol seperti termaktub di dalam manifesto BN dalam pilihanraya ke-13 namun janji itu tidak ditepati apabila hampir kesemua tol di Semenanjung naik, ada diantaranya sehingga lebih 100 peratus.

Sekarang orang Sarawak dijanjikan lebuhraya ribuan kilometer tanpa tol. Apakah orang Semenanjung rakyat kelas dua dan tidak layak mendapat keistimewaan sedemikian sehingga tol yang sudah sedia ada naikkan walaupun keadaan ekonomi masakini sangat menekan.

Kenaikan pelbagai barangan asas, kos perkhidmatan, bil elektrik dan keraian lain terus menekan rakyat di Semenanjung ketika Najib membuat pelbagai janji di Sarawak. Cukai barang dan perkhidmatan atau (Goods and Service Tax – GST) menambah lagi tekanan.

Najib berkata ianya cukai yang baik. Mungkin jika ianya diwujudkan untuk mendapat dana untuk diagihkan kepada rakyat. Tapi ramai beranggapan GST itu perlu untuk menutup lubang yang sebegitu besar diakibatkan oleh skandal 1MDB.

Bagi Adenan dan orang Sarawak, skandal 1MDB tidak berkait dengan mereka. Ini agak menghairankan kerana mereka juga turut terkesan oleh GST. Atau mungkin orang Sarawak nampak keuntungan mengundi BN lebih besar dari bala 1MDB dan GST yang menekan orang Semenanjung.

PERTUKARAN PEMIMPIN MEMBAWA IMPIAN BARU

Selain dari kepercayaan orang Sarawak bahawa kemenangan besar BN akan memberi keupayaan Adenan untuk tawar-menawar dengan Kerajaan Pusat, sentimen menyokong pemimpin baru yang mengambil-alih dari pemimpin yang lama memerintah bukanlah sesuatu yang luarbiasa.

Jika kita ambil contoh kemenangan besar Tun Abdullah Badawi selepas mengambil-alih kepimpinan dari Dr Mahathir di dalam pilihanraya tahun 2004, kemenangan besar Adenan selepas mengambil-alih dari Tun Taib Mahmud seharusnya tidak menghairankan.

Walaupun penyokongnya berkeras mengatakan kemenangan besar Abdullah tahun 2004 adalah semata-mata di atas popularitinya, pandangan sedemikian amatlah tersasar.

Ini kerana kemenangan itu seharusnya disandarkan di atas beberapa faktor lain kerana Abdullah mewarisi kepimpinan dari parti yang sama.

Pertamanya, rakyat rata-rata merasa tenang kerana peralihan kuasa berlaku dengan tertib dan Dr Mahathir meletakkan jawatan tanpa paksaan malahan ketika dia di kemuncak popularitinya.

Kedua, legasi Dr Mahathir yang baik, iaitu pembangunan dan kesejahteraan rakyat telah tercapai dan ini membuat rakyat percaya penggantinya akan berupaya meneruskan jika tidak meningkatkan lagi  pencapaian itu.

Ketiga, rakyat rata-rata percaya dengan pilihan pemimpin terdahulu bahawa Abdullah berkeupayaan meneruskan kepimpinan Dr Mahathir. Kepercayaan ini diperkukuhkan dengan sokongan dari Dr Mahathir kepada penggantinya.

Keempat, selepas 22 tahun di bawah kepimpinan Dr Mahathir, mereka sudah pasti teruja untuk melihat apakah kelainan yang akan di bawa oleh Abdullah.

Kelima, personaliti Abdullah yang sederhana dan digelar sebagai Mr Clean menambah lagi kepada keyakinan rakyat untuk memberi sokongan yang kuat di dalam pilihanraya tahun 2004.

Faktor-faktor seperti di atas mungkin juga terpakai dalam konteks Adenan yang mewarisi kepimpinan dari Taib yang telah menerajui Sarawak selama 33 tahun.

Apakah Adenan akan menerima nasib yang sama seperti Abdullah di dalam pilihanraya negeri akan datang? Ianya tergantung sepenuhnya kepada Adenan.

Jika dia percaya kemenangannya semata-mata kerana popularitinya dan cuba menafikan legasi yang baik ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu, kemungkinan dia tersungkur seperti Abdullah amat besar.

Mungkin kerana itu juga Adenan dari awal lagi telah menyatakan dia hanya mahu diberi mandat selama satu penggal dan dengan itu tidak akan menghadapi dugaan yang dihadapi oleh Abdullah.

Dan jika Adenan, meskipun tidak mahu mendapatkan mandat untuk penggal kedua, tetapi gagal mentadbir dengan baik dan menyerahkan pentadbiran kepada anak menantu dan rakan-rakannya yang berkepentingan ala Tingkat 4 zaman Abdullah, penggantinya juga akan menghadapi masalah seperti Najib.

Dan jika penggantinya pula berkelakuan seperti Najib, percaya kepada konsep “Cash is king”, tidak meneruskan keikhlasan perjuangan dan mementingkan keuntungan peribadi serta keluarga dan handai taulan, Sarawak juga akan melalui zaman gelap seperti di Semenanjung.

Berhati-hatilah supaya apa yang berlaku di Semenanjung tidak menular ke Sarawak.

Anda juga pasti ingin membaca:

1) STATE SECRET! – US$7 BILLION Went From 1MDB, Says Auditor-General

2) Stop resting your laurels on Sarawak Elections victory, Najib should leave

3) SUATU PENGAJARAN AWAL

4) Bagaimana auta Skandal 1MDB akan menjerat negara kita

5) 1NDB Ada Duitlah Cuma Kita Tak Mahu Bayar Jer … Biar IPIC Bayarkan Hutang Itu – SUDAH-SUDAHLAH 1NDB!

6) Menjawab FITNAH Terbaru Najib – Kegagalan IPO Punca Masalah 1MDB Dan Gagal Kerana DiSerang

7) Ex-BSI banker faces new charge of forgery in probe linked to 1MDB

8) Malaysian Government prepares to consolidate 1 MDB bonds,repay bondholders.Bondholders may suffer haircut, and Malaysian taxpayers a very hefty bill for professional services

9) Sarawak State Elections: Why 1MDB matters to Sarawakians

7 thoughts on “Penularan di Putrajaya

  1. Faktor tambahan:

    Peratusan yang keluar mengundi adalah kecil berbanding sebelumnya.

    Pembangkang tidak bersatu.

    Ramai pemimpin pembangkang dihalang memasuki Sarawak untuk berkempen.

    Like

  2. Tiada gunanya mempersoalkan kewajaran kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO yang ada , umum mengahtawi tahap kecerdikan mereka .

    Persoalanya , adakah wajar kita masih terus dipimpin olih mereka-mereka yang tahap kecerdasan yang sebagini ?.

    Like

  3. Salam semua

    Ulasan Apai Mimit (kecil)Malaya memang tepat. Saya ingin menambah fakta berikut.

    1. Peratusan pengundi tidak sekecil seperti yang disebut media. Kalau kita melihat keputusan di setiap DUN kita dapati purata pengundi lebih kurang 70%, dimana yang tertinggi adalah 80% dan yang terendah sebanyak 58%.

    2. Politik Sarawak amat exclusive. BN Sarawak dianggotai 100% parti tempatan tanpa kaitan dengan mana-mana parti dari Semenanjung. Ini menjadi kelebihan dan rakyat Sarawak sedar bahwa parti politik mereka tiada kekangan dan tekanan dari pihak Semenanjung.

    3. Tiada faktor tempatan yang mengancam atau ketidak puasan rakyat terhadap kerajaan negeri dibawah pimpinan team Adenan. Dalam jangka masa singkat, KM Adenan telah berjaya menambat dan meyakinkan rakyat dengan tindakan dan kata kata yang meyakinkan rakyat. Kalau dalam PRN 2011 pihak pembangkang memainkan isu “Uban” dan gelombang Sarawak for Sarawakian, tapi kali ini “uban” tak ade lagi dan gerakan Sarawak for Sarawakian berjaya di “Neutralise” oleh KM Adenan. Faktor kelemahan pembangkang yang bertanding sesama sendiri menunjukan tiada ikatan yang kukuh dan kewibawaan yang dapat diharapkan.

    4. Rakyat Sarawak terdiri dari berbilang kaum dan etnik. Tiada satu satu kaum atau etnik yang majoriti dengan sendirinya. Kesemua Parti Politik BN tiada yang rasis. PBB yang menjadi tonggak BN Sarawak misalnya, bukan parti melayu/melanau tapi gabungan Dayak/Melayu /Melanau. Begitu juga SUPP walaupun mewakili kaum cina tapi SUPP adalah sebuah parti multi racial. Keutuhan rakyat Sarawak terletak kepada KEHARMONIAN dan KESEFAHAMAN diantara semua kaum dan etnik. Agama tidak dipolitikkan. Ini adalah amalan hidup rakyat Sarawak seharian. Berbeza dengan Semenanjung, parti politik kebanyakkannya beteraskan Ras. Melayu, Cina dan India dan ditambah lagi degan perpecahan melayu yang melibatkan Agama dipolitikan.

    5. Kepada rakyat Semenanjung yang marah dengan rakyat Sarawak yang mengundi BN, mereka harus mengenali dan memahami kehidupan rakyat Sarawak terlebih dahulu. Seperti yang disebutkan tadi, Keharmonian dan Kesefahaman adalah teras utama dan perlu dipertahankan dengan apa cara sekali pun. Apa jua cubaan atau mana mana pihak yang cuba menganggu gugat pasti akan ditolak. Individu seperti Ibrahim Ali, Jamal Yunos, Ali Tinju dan yang sepertinya memang patut dilarang memasuki Sarawak. Malahan kalau Nazri Aziz tu bukan seorang Menteri…beliau juga munkin dilarang masuk.
    Jadi kepada saudara saudari dari Semenanjung….janganlah menghentam tanpa cuba melihat dari sudut kami rakyat Sarawak. Rakyat Sarawak terkenal dengan santun melayani tetamu namun jangan sampai hati kami terguris.

    6. Soal pembangunan kemudahan asas memang menjadi keutamaan kami. Kalau di Semenanjung mereka hangat dengan isu tol…kami di sini masih begelut dengan isu jalanraya. Ia jalanraya bukan highway. Di semenanjung anda masih punya pilihan sama ada menggunakan highway (bayar tol) atau guna jalan alternatif yang tak ada tol. Lain dengan kami di Sarawak…yang dipanggil Borneo highway tu sebenarnya itulah satu satunya jalanraya yang menghubungkan antara bahagian dari Kuching ke Miri dan masih tiada jalan teru yang menghubungkan Miri ke Lawas dan Limbang. Kami terpaksa merentas negara Brunei untuk kesana. Bayangkanlah!
    Sebab tu orang Sarawak selalu menggunakan “belon”(kapal terbang) untuk perjalanan dalam negeri. Glamorkan?

    Kepada saudara daudari yang belum menjejakan kaki ke bumi kenyalang ini, kami jemput saudara saudari datanglah kemari. Kami mengalu alukan kedatangan anda semua untuk sama sama merasakan kedamaian dan keharmonian kami yang pelbagai ini.

    Like

    • Putra kraken,
      1.Memilih BN adalah memilih Najib. Kehilangan bukan kerugian oleh 1MDB bukankah jelas membawa beban kepada keseluruhan rakyat Malaysia . Munkin Sarawak tahu najib memerlukan sokongan atau undi Sarawak untuk BN jadi dapatlah Sarawak meminta apa saja. Biarlah kesengsaraan orang semenanjung. Itu mementingkan diri sendiri namanya.
      2. Menyokong BN adalah menyokong Najib. Itu adalah hakikatnya. Menyokong Najib adalah bersekongkong dalam menghalalkan korupsi. Kesannya akan juga dirasakan oleh orang Sarawak satu hari nanti.
      3. Kalau kita mahukan kesejahteraan atau kemajuan untuk Sarawak bukan melalui jalan pendek yang membelakangkan tetapi harus sebaliknya iaitu menegakan isu melawan korupsi, kebenaran, memulihkan system demokrasi dan sebagainya. Begitu jalilkah Sarawak dengan isu semasa.
      3. Tidakah jelas alasan yang digunakan untuk menyekat pembangkang dari semenanjung datang berkempen di Sarawak lansung tidak masuk akal dan merupakan satu perbuatan yang melangar perlembagaan . Penyalahgunaan kuasa ini adalah tidak baik kerana rakyat Sarawak telah dinafikan penjelasan yang sewajarnya daripada pihak pembangkang kebaikan dan keburukan antara parti parti yang bertanding supaya Sarawak dapat membuat keputusan yang baik untuk masa depan Sarawak sendiri. Maksudnya Sarawak tidak mengambil kira dengan jelasnya perbuatan KM Adenan adalah tidak keadilan untuk rakyat Sarawak tetapi adalah untuk kepentingan politik sendiri. Ini adalah sokongan yang membabi buta namanya.
      4. Sarawak telah mengkhianati kejujuran semenanjung (pembangkang) yang menyokong permintaan dan peruntukan, royalti minyak dan automy lebih untuk Sarawak dengan mengembalikan BN memerintah Sarawak.

      Like

  4. Wahai menteri menteri UMNO/BN kemenangan di Sarawak jangan dijadikan sebagai satu sebab untuk membersihkan nama najib. Itu isu sokongan tetapi persoalan nya adalah korup bukan sokongan. Oleh kerana najib tidak dapat menjawap soalan soalan skandal 1mdb membuatkan dia bukan saja kelihatan tetapi benar seorang yang korup. Inilah yang perlu di fahami oleh kamu semua. Kamu sebenarnya memperbodohkan diri kamu di mata rakyat dengan cuba memperbodohkan rakyat dengan jawapan yang keluar tajuk. Contoh nya, tiada pihak dari kerajaan sehingga sekarang mahu mengambil tindakan ke atas mana mana individu yang terlibat di dalam skandal 1mdb tidak bermakna tiada orang yang bersalah cuma salahnya tindakan tidak mahu di ambil. Bersekongkong namanya.
    Simpulannya mendapat sokongan dan korup adalah dua isu yang berlainan jangan disangkut paut. Ia tidak dapat membersihkan nama najib. Sorry dedak’s you should do better then that.

    Like

  5. Pingback: Penularan di Putrajaya | BEAUTIFUL DAYS

  6. Orang-orang yang bertaraf HAPRAK dilantik jadi Menteri. Ini adalah penghinaan kepada rakyat dan negara. Cuma satu criteria yang diperlukan untuk dilantik – sentiasa bersedia untuk jadi pencium bontot Perdana Menteri.

    Like

Astound us with your intelligence!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s