Umno dan konsep budi

Budi bahasa adalah antara perkara penting di dalam jatidiri seseorang Melayu. Ia menjadi satu intipati yang tegar kepada sifat semulajadi kaum Melayu itu sendiri.

Melayu bukan Melayu tanpa budi bahasa.

Mengenang budi dan berbudi sesama insan adalah sifat terpuji kaum Melayu sejak zaman berzaman.

Adalah menjadi suatu perkara yang menyedihkan apabila peribahasa indah orang orang Melayu berkenaan budi telah semakin dilupakan oleh orang Melayu sendiri.

“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”

Jika Umno itu sinonim dengan kaum Melayu, maka Umno semestinya sinonim dengan semangat berbudi dan berbahasa. Oleh itu pemimpin agung Umno ketika ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya mengetengahkan contoh terbaik di dalam perlakuannya.

Perjuangan Umno adalah perjuangan berbudi kepada rakyat dan berbudi kepada kaum Melayu. Inilah yang menjadi kekuatan Umno di dalam politik tanahair.

Walaubagaimanapun, Datuk Seri Abdullah telah mengabaikan konsep budi tersebut. Dan oleh sebab itu, punca kekalahan teruk Barisan Nasional di dalam pilihanraya umum ke 12 boleh dijuruskan kepada lupanya presiden Umno untuk meneruskan penerapan nilai nilai budi pekerti di dalam kepimpinannya.

Para pembaca sekelian, berikut adalah sebahagian dari ucapan seorang bekas pembesar Umno, yang mengkritik kepimpinan dan karakter Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak tahu mengenang budi. Tan Sri Sanusi Junid telah membuat ucapan ini apabila menjadi tetamu jemputan di dalam sebuah majlis Umno yang dianjurkan oleh akar umbi pada bulan April yang lepas;

Bila dah naik ke atas sampai ke peringkat menjadi menteri, sudah mula menyombong, menunjukkan diri tak mengenang budi.Yang kita perlu ingat ialah, Umno ini hidup ialah kerana budi. Umno ini hidup kerana budi dan (berbudi) bahasa.

Kerana  anak kecil tadi dipelihara oleh ibulah maka dia kenang budi ibu. Si ibu kenang budi bapa kerana melindunginya. Anak anak mengenang budi ibu dan bapa yang memeliharanya. Jiran menjadi lebih akrab kerana budi.

Apalah manusia tanpa budi.

Budi antara jiran, budi guru kepada murid, budi antara suami dan isteri, budi ayah dan ibu kepada anak, budi pemimpin kepada rakyat.

Inilah yang menyebabkan rakyat menjadi kasih dan cinta kepada pemimpin. Apabila rakyat tidak lagi kasih tidak lagi cinta kepada pemimpin, dan pemimpin itu hanya tersangkut dalam kuasa kerana perundangan, maka pada waktu itu, bermaknalah, budi itu sudah tidak ada nilai lagi.

Kerana rakyat kecewa. Kerana pemimpin tidak berbudi kepada merekalah, malah (hanya) berbudi kepada kuncu-kuncu, kepada saudara mara, kepada keluarga. Kalau pemimpin hanya berbudi kepada sesama sendiri, maka pada waktu itu rakyat jelata akan menolak pemimpin itu.

Betapa tepatnya beliau di dalam menzahirkan kekusutan yang menimpa Umno sekarang ini.

Izinkan saya mengkiaskan analogi berikut.

Lembu jika dibela dengan baik dan diberi makan satu guni rumput setiap hari, akan menarik beban kereta lembu hingga berdarah darah lehernya. Anjing jika dipelihara dan diberi makan setiap hari akan mengenang budi tuannya dengan menjaga keselamatan rumah tuannya. Apabila tuannya tidur, ia akan berjaga.

Lihat betapa rendahnya budi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada orang yang mengangkatnya ke atas. Jika tahap mengenang budi Perdana Menteri kita terhadap bekas tuannya lebih rendah dari tahap anjing dan lembu, apatah lagi tahap budi Perdana Menteri kita terhadap rakyat bawahannya.

Bukan sahaja Perdana Menteri kita leka terhadap tanggungjawab besarnya, malah pemimpin pemimpin Umno yang lain juga telah lalai di dalam tugasan mereka. Lalai dan leka terhadap kuasa dan kekayaan.

Alexander Fraser Tytler telah dikatakan menulis perjalanan sesebuah demokrasi yang saya rasa amat tepat untuk disamakan dengan keadaan demokrasi di dalam Umno dewasa ini;

A democracy is always temporary in nature; it simply cannot exist as a permanent form of government. A democracy will continue to exist up until the time that voters discover that they can vote themselves generous gifts from the public treasury. From that moment on, the majority always votes for the candidates who promise the most benefits from the public treasury, with the result that every democracy will finally collapse due to loose fiscal policy, which is always followed by a dictatorship.
The average age of the world’s greatest civilizations from the beginning of history has been about 200 years. During those 200 years, these nations always progressed through the following sequence:
  • From bondage to spiritual faith;
  • From spiritual faith to great courage;
  • From courage to liberty;
  • From liberty to abundance;
  • From abundance to complacency;
  • From complacency to apathy;
  • From apathy to dependence;
  • From dependence back into bondage.

Kaum Melayu pernah melalui zaman penjajahan. Ini diikuti dengan kesedaran dan semangat percaya kepada diri sendiri. Diikuti pula oleh keberanian di dalam melawan penjajah. Setelah itu, kemenangan telah memberikan kebebasan untuk memutuskan hala tuju kaum Melayu. Dengan sifat percaya kepada diri sendiri, kekayaan datang melimpah untuk pemimpin pemimpin kaum Melayu.

Tun Dr Mahathir pernah berkata di dalam artikel beliau yang lalu ‘the Malays could not handle their wealth as good as they did with poverty’.

Akibatnya, pemimpin kaum Melayu dan Melayu sendiri menjadi lalai dan leka dengan kemewahan. Tanpa dipimpin oleh pemimpin yang berkaliber dan berbudi pekerti, kita sekarang telah berada di zaman kelalaian dan kelekaan. Yang getirnya, kita sekarang sudah berada di ambang zaman lupa diri dan sikap tidak peduli.

Apakah nasib kaum Melayu di masa yang akan datang jika pemimpin tertinggi yang sedia ada tidak ditukar segera? Adakah kita akan menjadi terbelenggu dengan sifat buruk kita sendiri? Adakah kita akan kembali ke zaman semasa kita dijajah dahulu? Penjajahan minda adalah amat dahsyat sekali.

Kelalaian dan kelekaan kita hendaklah dihakis semasa mesyuarat bahagian Umno yang akan bermula pada 9 Oktober nanti. Pilihlah pemimpin yang baik, yang mengenang budi dan yang merendah diri. Bukan pemimpin yang akan membawa kita ke ambang kehancuran budi pekerti dan semangat jatidiri.

Berani Berubah!